Pemerhatian Kesan Jangka Panjang COVID-19 (MyLongCOVID)
MyLongCOVID ialah satu penyelidikan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) yang bertujuan untuk menilai tanda-tanda kronik dan komplikasi jangkitan COVID-19. Penyertaan setiap peserta adalah secara sukarela. Penyelidikan ini telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika & Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
MyLongCOVID terbuka kepada semua individu yang pernah dijangkiti COVID-19 berumur 18 tahun ke atas. Setiap subjek yang bersetuju untuk menyertai penyelidikan ini akan diminta untuk mengisi borang kaji selidik yang boleh didapati di ruangan ‘Perlu Dilakukan’ MySejahtera pada 1 minggu, 1 bulan, 3 bulan, dan 6 bulan selepas subjek tersebut dijangkiti COVID-19.
Berikut merupakan soalan-soalan lazim bagi subjek-subjek MyLongCOVID:
Apakah tujuan penyelidikan ini?
- Penyelidikan ini bertujuan untuk menilai tanda-tanda kronik dan komplikasi jangkitan COVID-19. Penyelidikan ini penting untuk membantu kami memahami masalah-masalah kesihatan dan komplikasi yang dihadapi selepas jangkitan COVID.
Apakah tanggungjawab saya jika saya bersetuju untuk menyertai penyelidikan ini?
- Anda hanya perlu mengisi borang kaji selidik sekarang dan 1 bulan, 3 bulan, 6 bulan selepas jangkitan COVID-19. Anda akan menerima peringatan dalam bentuk mesej(SMS) dan panggilan telefon dalam jangka masa 1 bulan, 3 bulan dan 6 bulan selepas COVID-19.
Adakah penyertaan saya akan mendatangkan risiko dan kesan-kesan sampingan?
- Tidak. Kami hanya memerlukan masa 5-10 minit daripada anda untuk menjawab borang kaji selidik ini.
Apakah faedah yang diperolehi daripada penyertaan saya?
- Penyertaan anda dalam penyelidikan ini tidak akan mendatangkan manfaat secara langsung kepada anda. Akan tetapi, segala maklumat yang diperolehi daripada penyelidikan ini akan dapat membantu dalam penambahbaikan rawatan jangkitan COVID-19.
Adakah maklumat saya akan dikendalikan secara sulit?
- Segala maklumat yang diperolehi dalam penyelidikan ini akan disimpan dan dikendalikan secara sulit, seiring dengan peraturan-peraturan dan/atau undang-undang yang berkenaan. Apabila hasil penyelidikan ini diterbitkan atau dibentangkan, identiti anda tidak akan didedahkan.
Siapakah yang perlu saya hubungi sekiranya saya mempunyai pertanyaan?
- Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai penyelikan ini, anda boleh menghubungi Dr. Kang Kong Yeow, melalui talian telefon 0474078701
- Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai hak-hak anda sebagai pesakit dalam penyelidikan ini, sila hubungi: Setiausaha, Jawatankuasa Etika & Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, melalui talian telefon 03-33628407/8205/8888.