1. Apakah itu Pengesan Penyakit Berjangkit?
Pengesan Penyakit Berjangkit (sebelum ini dikenali sebagai MySejahtera Hotspot Tracker) ialah salah satu fungsi yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera untuk mengesan kawasan panas COVID-19 di Malaysia. Kini, ciri tersebut telah diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak penyakit berjangkit, iaitu (1) demam denggi, (2) rabies, (3) campak, (4) penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), dan (5) tuberkulosis.
2. Bagaimanakah Pengesan Penyakit Berjangkit berfungsi?
Pengesan penyakit berjangkit mengesan kes baharu yang dilaporkan oleh pejabat kesihatan daerah dan jabatan kesihatan negeri. Lokasi kes-kes baharu yang dilaporkan ini dipetakan sebagai rujukan untuk memaparkan bilangan kes aktif di sekitar mana-mana titik carian yang dipilih tanpa menunjukkan koordinat spesifik pesakit tersebut. Oleh itu, pengguna akan dapat melihat bilangan kes aktif bagi setiap penyakit yang dilaporkan dalam radius dari tempat carian mereka.
3. Apakah radius dan tempoh kes-kes aktif bagi setiap penyakit berjangkit?
Radius dan tempoh kes aktif bagi setiap penyakit berjangkit adalah seperti yang berikut:

4. Apakah yang dimaksudkan dengan radius untuk penyakit berjangkit?
Radius bagi penyakit berjangkit adalah kawasan dalam lingkungan di mana semua kes aktif dari tempat carian anda dikesan.
5. Apakah yang dimaksudkan dengan tempoh kes aktif untuk penyakit berjangkit?
Tempoh kes aktif untuk penyakit berjangkit ialah jangka masa penyakit itu berada dalam tempoh berjangkit, justeru, akan dipaparkan dalam Pengesan Penyakit Berjangkit. Setiap penyakit berjangkit mempunyai tempoh kes aktif yang berbeza.
6. Apakah tindakan yang boleh saya lakukan terhadap peningkatan kes aktif di sekeliling saya?
Pengguna boleh mengambil langkah proaktif untuk mencegah serta membendung penularan penyakit berjangkit dalam komuniti terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai komorbiditi.
7. Bagaimanakah masyarakat harus bertindak terhadap peningkatan kes aktif penyakit berjangkit di kawasan mereka?
Pihak komuniti boleh mengatur aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong pembersihan serta menyampaikan pesanan khidmat nasihat dan keselamatan kepada penduduk setempat melalui media sosial (seperti WhatsApp) dan pengumuman sewaktu perhimpunan sosial/keagamaan. Tambahan pula, pihak komuniti boleh menyampaikan aduan yang berkaitan kepada pihak berkuasa tempatan serta bekerjasama untuk meningkatkan taraf keselamatan dan kesihatan komuniti masing-masing.
8. Di manakah boleh saya dapatkan maklumat lanjut tentang penyakit-penyakit berjangkit ini?
i) COVID-19 (Bahasa Malaysia | English)
ii) Demam denggi (Bahasa Malaysia | English)
iii) Penyakit anjing gila (Rabies) (Bahasa Malaysia | English)
iv) Demam campak (Measles) (Bahasa Malaysia | English)
v) Jangkitan tangan, kaki, & mulut (HFMD) (Bahasa Malaysia | English)
vi) Tuberkulosis (TiBi) (Bahasa Malaysia | English)
9. Adakah saya perlu menghidupkan sambungan GPS sepanjang masa untuk menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit?
Setelah anda membenarkan sambungan GPS pada peranti, aplikasi tersebut secara automatik akan disambung apabila diperlukan.
10. Adakah GPS memerlukan sambungan internet?
GPS tidak memerlukan sambungan internet. Walaubagaimanapun, maklumat penyakit berjangkit yang berdekatan dengan anda akan dihantar melalui aplikasi dan memerlukan sambungan internet.
11. Sejauh manakah GPS akan mengesan kes berdekatan dengan anda?
Jarak jangkitan bergantung pada jenis penyakit berjangkit. Jarak bagi kes denggi adalah dalam lingkungan 200m dan bagi penyakit tangan, kaki dan mulut adalah sejauh 5km.
12. Bagaimanakah pengesan penyakit berjangkit memetakan koordinat bagi setiap kes?
Daripada laporan pihak KKM, lokasi kes penyakit berjangkit dimuat naik ke pangkalan data tanpa maklumat peribadi anda.
13. Sekiranya saya pulang ke kampung halaman di kawasan pedalaman yang mungkin mempunyai sambungan internet yang lemah, adakah GPS masih dapat mengesan saya?
GPS menggunakan teknologi satelit dan mampu mengesan lokasi anda atau lokasi yang anda kehendaki. Walaubagaimanapun, sambungan internet yang stabil diperlukan bagi mencari lokasi tanpa menggunakan GPS dan untuk memaparkan sebarang maklumat.
14. Adakah pengesan penyakit berjangkit akan menceroboh maklumat peribadi saya?
Tidak, sebarang maklumat peribadi atau lokasi GPS anda tidak akan disimpan dalam sistem.
15. Adakah maklumat peribadi saya, termasuk lokasi saya akan didedahkan?
Tidak. Sistem ini tidak akan merekodkan sebarang maklumat peribadi tentang pesakit atau lokasi GPS mereka.
16. Adakah tahap bateri peranti saya berkurang dengan cepat apabila saya menghidupkan GPS?
Aplikasi MySejahtera hanya menggunakan fungsi GPS apabila lokasi semasa untuk pemetaan diperlukan. Sebarang kegunaan lain tidak memerlukan GPS, justeru ia tidak menyebabkan penggunaan bateri yang berlebihan.
17. Adakah lokasi peribadi saya akan diketahui oleh orang sekeliling sebaik GPS dihidupkan?
Tidak, sebarang maklumat peribadi atau lokasi GPS anda tidak akan disimpan di dalam sistem.
18. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya lokasi yang dipaparkan tidak tepat?
Anda boleh cuba mencari kawasan yang anda gunakan menggunakan istilah lain seperti nama jalan, daerah dan poskod dalam bar carian.
19. Berapa lamakah perlu saya hidupkan sambungan internet untuk menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit?
Anda hanya menggunakan data yang sedikit dalam masa yang singkat untuk mengumpul maklumat penyakit berdekatan dengan lokasi anda. Perkara ini tidak berlaku secara berterusan.
20. Adakah aplikasi ini memerlukan penggunaan data peranti saya?
Kebanyakan aplikasi yang menghantar maklumat memerlukan sambungan Wi-Fi atau data peranti. Namun demikian, aplikasi ini hanya menggunakan sambungan Wi-Fi atau data peranti yang amat minimum.
21. Adakah saya perlu mengaktifkan Bluetooth pada setiap masa?
Bluetooth tidak perlu diaktifkan untuk menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit.
22. Apabila saya mengaktifkan Bluetooth pada telefon, adakah privasi saya akan dilindungi?
Untuk menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit, Bluetooth tidak perlu diaktifkan dan privasi anda akan dilindungi menurut dasar privasi applikasi.
23. Adakah telefon saya akan terlalu panas jika saya menghidupkan Bluetooth?
Bluetooth tidak perlu diaktifkan untuk menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit. Ia hanya akan menggunakan Wi-Fi atau data peranti yang sangat minimum.
24. Adakah penggunaan jam tangan pintar yang disambung kepada telefon mengganggu penggunaan Pengesan Penyakit Berjangkit?
25. Sekiranya Bluetooth tidak berfungsi, bagaimana saya ingin menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit?
Bluetooth tidak perlu diaktifkan untuk menggunakan Pengesan Penyakit Berjangkit. Hanya jaringan internet yang diperlukan, dan data lokasi GPS adalah pilihan jika anda ingin menggunakan ciri carian lokasi semasa; sebagai alternatif, anda boleh menaip lokasi dalam bar carian.